Jumaat, 19 Mei 2017

MANUSIA DAN MATALAMAT YANG HILANG

  Manusia kian kehilangan matlamat yang ingin digapai. Dalam arus kehidupan sedikit demi sedikit tanpa sedar kita dihanyutkan oleh matlamat yang asalnya hanya segumpal awan di atas kepala yang kononya akan memayungi hidup ke penghujung nyawa dan membawa bahagia insan di sekeliling kita bersama. Akhirnya kita sedar bahawa gumpalan awan tadi semakin jauh dan kita mengejarnya lalu membawa kita kehujung dunia yang penuh ranjau duri dan ombak ganas lalu menghimpit hidup dan tak kurang yang membuang bahagia dan keluarga juga agama tanpa sedar. 
   Suatu waktu dulu  nenek moyang merupakan petani yang membuka tanah  yang dibajak dengan tulang empat kerat, pohon-pohon  ditumbangkan dari rimba yang memenuhi alam sekeliling. Sedikit demi sedikit bumi bertukar hijau menjadi sawah padi,buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan harian bersumberkan hasil yang ditanam dari titik peluh sendiri dan dipungut dari tepian sumur dan dusun, ikan  di kail dan di serkup dari sawah padi, parit juga sungai berhampiran. Yang perlu dibeli hanyalah pakaian yang  sesekali disarung apabila ada kenduri kendara. Pakaian ini hanya di gayakan pada hari tertentu yang istimewa. Tiada siapa yang sibuk mengatakan bahawa ianya telah dipakai berulang kali setiap kali majlis diadakan,  ianya seolah seragam yang mewakili si pemakai pada hari tertentu. Paling tidak menggayakan kain songket bunga tabur atau berkain batik dan dipadankan  baju kurung putih atau  berbaju melayu berkain samping, bersongkok hitam.
   Semuanya berubah apabila masyarakat mula memandang kesenangan yang mula berkembang dari kota yang dibawa oleh dunia moden. jentera dan kereta mula memenuhi ruang jalan. Bekerja menjadi suatu nilai terhormat kepada keluarga. Anak-anak bersekolah mula mencapai cita-cita dan meninggalkan sawah padi dan  kebun yang selama ini memberi hasil kepada kehidupan keluarga. Ayah ibu begitu berbangga mempunyai anak yang menghulurkan wang ringgit dimana pada awalnya mereka juga tidak tahu apakah tujuan kegunaan wang tersebut, sehinggalah kedai-kedai dan pekan serta tempat membeli -belah mula menghampiri desa mereka.Anak-anak kini tidak lagi menghuni desa dan membina rumah berhampiran ayah bonda. Status keluarga mula dirasa kian diangkat apabila anak-anak membawa kereta dan berpakaian indah pulang sesekali ke desa.
   Anak yang dahulunya ramai hanya tinggal nama, institusi keluarga yang dahulunya harmoni dan rapat tidak seperti yang diharapkan. Bagaimana menjenguk ayah? bagaimana membantu ibu? hanya dengan wang? Saban masa wang yang difikirkan untuk mengisi hidup, sejak bangun pagi, memetik suis lampu dan memutar kepala pili. Air dan letrik yang mengalir umpama wang yang semakin menipis dari dompet yang hanya tebal seketika.
   Dahulu sayur dan beras hanya dituai di kawasan rumah. Kini ianya dituai dari kedai dan mall yang tersergam indah.Makannya pun sudah diolah pelbagai cara. Semakin sukar membezakan keperluan dan kehendak kini. Dahulu jika baju  compang-camping tidak pernah pusing memikirnya, bukan untuk tatapan siapa, Hanya memerun rumput yang dicangkul di kawasan rumah, hanya membanting tulang di kebun dan sawah dan hanya bergurau senda bersama keluarga tercinta. Kini,tudung harus padan dengan baju, harus padan dengan tas tangan dan juga sepatu yang digayakan. Semuanya berwarna-warni sedang makannya perlu dicatu.
    Andainya waktu boleh di undur kembali dan dimulai di noktah yang paling sempurna, pastinya ramai yang masih puas bersenda gurau bersama keluarga sepulangnya dari bertani dengan bau peluh yang menemani tubuh dan lengan baju juga seluar yang masih tersingsing, menghirup kopi kampung dan rebus ubi dicecah ikan masin. Ayah ibu tua hanya disebelah rumah, hari-hari bertandang bertanya khabar. Mak long, pak long, angah, alang, achik dan busu boleh dipanggil bila jendela rumah terbuka lebar. Anak-anak berlari-lari, bermain ting-ting, batu seremban, membaling guli dan berlumba mandi di tali air. Indahnya alam semulajadi tanpa gangguan tangan-tangan besi  raksaksa yang rakus menumbang alam semulajadi dan keindahannya.
    Kita tidak mampu menghentikan kemajuan cuma hindari dari menjadi mangsanya berterusan. Jangan menjadikan mereka yang tersayang korban dalam perjalanan mencari kesenangan dan akhirnya tercicir tiap satunya lalu meninggalkan sunyi di penghujung kehidupan.


santalia

niza amir jb



Rasa Tertekan Kerana Tugasan Yang Ditaip Berjam-jam Hilang Sekelip Mata.

Pernah tak melalui saat, apabila sahaja hampir tamat menaip semua tugasan dan perasaan pun dah mula berasa lega, minda hampir kosong dan ma...